Khamis, 11 Ogos 2011

Khusus untuk wanita - Tip bagaimana untuk menjadi orang yang bersyukur


Adakah kita adalah orang yang bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan kepada kita? Tahukah kita bahawa cara paling mudah untuk bahagia ialah SENTIASA BERSYUKUR!!!

Jika hidup kita berada dalam kesusahan, masih ramai lagi yang lebih susah dari kita. Bersyukur lah dengan apa yang Allah kurniakan pada kita.

Bagaimana untuk menjadi orang yang sentiasa bersyukur?

1. Setiap kali kita bangun awal pagi, ucapakanlah Alhamdulillah
Ucapkan syukur kerana kita dapat tidur malam tadi, dapat merehatkan badan. Ucapkan syukur kerana masih hidup hari ini. Sesiapa sahaja berisiko boleh meninggal dunia ketika sedang tidur. Selepas bangun, ucapkan syukur. Tanamkan azam di dalam hati bahawa kita mahu capai tahap terbaik dalam apa jua perkara yang kita lakukan hari ini dan seterusnya.

2. Ketika menyediakan makanan dan minuman untuk suami dan anak-anak, ucapkan Alhamdulillah.
Ketika kita sedang sibuk menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak, niatkan untuk menggembirakan hati mereka. Mereka gembira merasai hidangan kita, kesannya kita gembira sama. Apabila terlihat senyuman mereka, ucapkan Alhamdullilah di dalam hati kerana kita berjaya menggembirakan hati mereka dengan masakan, air tangan kita. Jangan pertikaikan rasa penat, mengantuk, lemah badan, malas ataupun rasa terpaksa. Hadirkan rasa syukur pada Allah kerana kita mempunyai suami yang menyayangi kita, serta anak-anak penyeri hidup.

3. Lihat sekeliling kita, cari keindahan disebalik kesukaran (Hidup ini bukannya sukar)
Hidup ini sebenarnya indah, cuma kita tidak nampak selama ini. Lihat sekeliling kita, sekeliling rumah kita, bunga-bunga, kicauan burung, desiran angin, nikmati kehijauan dedauan disekeliling kita.  Rasai ketenngan ketika kita menatap itu semua. Kemudian, ucapakanlah Syukur kerana kita diberi peluang menikmati Keindahan alam yang Allah ciptakan ini.

4. Jadikan tugas sebagai peluang untuk kita berbakti
Seorang Wanita, yang bekerja atau tidak bekerja (Suri Rumah) pasti sibuk. Banyak tugas yang perlu dilakukan. Sibuk ditempat kerja dan di rumah, itu adalah peluang untuk beroleh pahala. Niatkan dalam hati, kita lakukan semua pekerjaan kita dengan berbakti kepada Suami dan anak-anak, berbakti kepada keluarga. Lakukan kesemuanya dengan kasih sayang. Apa yang kita curahkan pasti akan dapat semula. Percayalah, apabila suami berpuas hati dengan apa yang kita usahakan dan lakukan, pasti memuji usaha kita, hati kita akan girang. Syukurilah dengan semua itu.

Rabu, 10 Ogos 2011

KEILMUAN

Sama-samalah kita mengingatkan diri kita yang alpa ini. Dalam kesibukan kita mengejar ilmu dunia yang tidak terbatas, jangan sesekali kita lupa keutamaan ilmu suci yang dibawa oleh Rasulullah. Moga ilmu yang kita miliki menjadikan kita lebih dekat kepada Allah S.W.T.
Insya-Allah.

Telah ku sampaikan
Akan pesan dan ingatan
Dari ilham Pemilik Ilmu yang Abadi
Kepada sekalian pewaris ilmu
Sekalian saudaraku
Agar kita beringat
Walau siapa pun kita
Kita milik Dia Yang Hakiki.


Cemburu beribadah

"Ustaz, bagaimana saya mahu membuat semua ibadat itu. Sedangkan mahu solat berjemaah penuh sepanjang hari pun masih amat sukar"

"Petuanya satu. Iaitu bersyukurlah" jelas beliau.

"Bersykur? Bagaimanakah hanya dengan bersyukur kami dapat melakukan ibadat-ibadat orang yang soleh ini" tanya saya lagi dengan penuh kesangsiann

"Sesungguhnya taufiq dan hidayah adalah milik Allah SWT. Kita hamba tidak punya apa-apa kekuatan. Kita dapat bangun bersolat wajib pun sebenarnya adalah kerana izin dan kekuatan Allah SWT juga. Seandainya Allah SWT tidak mengizinkan. Maka kita tidak akan mampu. Kenapa bersyukur? Ingat firman Allah SWT ini.

"Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu:"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras" Surah Ibrahim (7)

Adakah anda memahami maksud saya?" jelas beliau lagi sambil tersenyum.

"Allah SWT yang memberi izin untuk terjadinya sesuatu. Anda kena benar-benar bersyukur dengan apa ibadat yang sedang dapat dilakukan dan tambahnya sedikit demi sedikit. Bersyukur sungguh-sungguh. Sekurang-kurang tepat pada waktunya terlebih dahulu. Tentang ibadat yang lain InsyAllah, Allah akan memberi izin untuk kita akan dapat lakukan.Ingat! Apabila kita bersyukur maka Allah SWT yang tambah nikmatnya. Dalam sudut ini. Allah SWT akan tambah nikmat kelazatan beribadat ini nanti" Ustaz membuat kesimpulan yang amat menenangkan hati tetapi menambah semarak cemburu kepada ibadat yang lain. Hati masih berbekas dengan cengkam cemburu dan iltizam.

"Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat" – Umar Abd Aziz

Khamis, 4 Ogos 2011

SMS pagi suami


"Assalamualaikum syg, dh sampai mn tu? syukur syg kita dpt bersama lg menikmati ramadhan utk kali ni, doakan smg Allah panjangkan umur kita dapat bertemu lg ramadhan akan dtg. Abg bertuah dan abg rasa cukup bangga memiliki yah. Abg mohon maaf sekiranya ada kesilapan atau kekurangan selama abg bersama yah. Yah adalah yang terbaik bg abg....." 

Yah balas: "Walaikumusalam, yah dah sampai office, yah pun bsyukur dpt suami spt abg, yg banyak membimbing yah. Yah pun mohon maaf, banyak dosa yah pada abg. Yah syg sgt dgn abg dan anak2. Semoga kita menjadi keluarga yg sentiasa dalam Naungan Allah."

Ada rasa terharu dihati, bila pagi-pagi Mr husband SMS macam tu, satu penghormatan. Syukur atas anugerah yang Allah berikan kepadaku. Mendapat suami yang soleh. 

Sentiasa meletakkan cinta atas dasar Iman dan Taqwa. Sentiasa mengingatkan bahawa tidak ada satu pun milik kita didunia. Semua itu, hanyalah pinjaman sementara. Yang boleh ditarik balik, pada bila-bila masa. Bersedia atau tidak, bukan itu menjadi persoalan. Tepuk dada tanyalah persediaan. Termasuklah dalam soal cinta. Cinta atas dasar kerana Allah, akan sentiasa merasa bahagia.

Allah dah pinjamkan kat Yah seorang Suami yang baik, Soleh untuk sama-sama kongsi rasa gembira, sedih, suka dan duka.

Semoga kita dapat bercinta lagi di Syurga nanti.

Selasa, 2 Ogos 2011

Cinta Itu Bukan Tuhan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Cinta Itu Bukan Tuhan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

SYURGA RUMAHTANGGA

Binalah rumah-tangga di tapak iman
Tuluskan niat luruskanlah matlamat
Suami pemimpin arah tujuan
Isteri pembantu sepanjang jalan
Lalu mulakanlah kembara berdua
Kerana dan untuk... Allah jua

Di tapak iman dirikanlah hukum Tuhan
Iman itu tujuan Islam itu jalan
tempat merujuk segala kekusutan
tempat mencari semua penyelesaian
rumah jadi sambungan madrasah
berputiklah mawaddah...
berbuahlah rahmah

Inilah kunci kebahagiaan rumah-tangga
setia dan penyayang seorang suami
cinta dan kasih seorang isteri
Lalu berbuahlah mahmudah demi mahmudah
lahirlah zuriat yang soleh dan solehah!

Ketenangan Ada Dijual Di Sini

Pernah tak nampak signboard macam ni, "Ketenangan ada dijual disini, dapatkan segera!" Atau iklan macam ni, "Ketenangan untuk dijual" ataupun bila buat carian di mudah.com, jumpa "Untuk dijual: Ketenangan". Pernah tak kita jumpa? Erm... saya yakin, belum pernah ada ketenangan terjual di mana-mana.

Penting ke ketenangan ni?

Pernah sesekali atau kerapkali mungkin, dalam hidup ini kita diuji dengan dugaan yang kita rasakan sangat berat, hingga kita jatuh terduduk, tergamam, terpana. Terasa jiwa yang tenang mula berombak, fikiran yang lapang terasa sesak. Dunia yang semalamnya cerah, hari ini terasa gelap gelita, tiada cahaya, tiada apa-apa. Kita teraba-raba, mencari tangan-tangan untuk berpaut, mencari bahu-bahu untuk bersandar, mencari dinginnya embun nasihat buat menyejukkan hati, saljunya madah kata pemujuk jiwa yang bisa mengembalikan kelamnya hidup kita. Kita tercari-cari mana pasangan, anak-anak, sahabat-sahabat kita. Adakah ketenangan ada bersama mereka?

Namun, kita rasa hampa kerana tiada tangan yang datang menghulur, tiada bahu yang datang mendekat, tiada curahan kata, tiada madah pujangga, tiada apa-apa. Sedang hati kita semakin terjerut kehibaan, mengenang dugaan yang semakin memberat, sedang jalan keluar seakan tidak kelihatan, kita seolah-olah tersesat di hutan belantara, di malam kelam yang tiada bintang, tiada juga bulan penunjuk haluan.

Mungkin juga sesekali, seolah kedengaran sayup-sayup bantuan yang datang, ada insan-insan yang cuba menghulurkan pertolongan. Namun, suami, isteri, anak-anak, sahabat, saudara, juga tidak dapat meminjamkan ketenangan itu kepada kita. Entah mengapa, semuanya bagai tak kena. Masalah yang menimpa tidak juga menampakkan penyelesaiannya, sedang insan di sekeliling kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu kita. Kita keseorangan, sendirian, dalam kegelapan, kebuntuan...

Sungguh, kita terasa ingin lari jauh. Jauh kemana-mana saja, asalkan kita terlepas dari belenggu yang menyesakkan fikiran ini. Kita mahu mencari sesuatu... "Ya Allah, berikan aku ketenangan". Ya, tiada apa yang lebih kita inginkan, tiada lain yang kita perlukan saat ini, melainkan ketenangan. Kita ingin Allah pinjamkan kita ketenangan, biarpun seketika, biarpun hanya sedetik cuma.

Kita cuba memujuk hati yang walang, cuba mencari ketenangan yang diimpikan. Pergi bercuti untuk menenangkan fikiran, window shopping, keluar berhibur dengan rakan-rakan. Bermacam-macam cara kita mencuba, namun gundah jiwa kita masih tidak berkurang, dugaan yang menimpa tidak juga surut, malah makin menyesakkan fikiran.

Kita mencari-cari dimana kita bisa mendapatkan ketenangan itu. Andai ia terjual di mana-mana, ya! dalam saat ini kita rela berikan segalanya untuk sebuah ketenangan. Andai apa jua syaratnya, kita pasti mahu memenuhinya, asal saja kita mendapat ketenangan itu. Andai ada manusia yang menyimpan ketenangan itu, akan kita cari dia walau di puncak mana dia berada. Semuanya demi ketenangan, kita umpama pengembara yang kehabisan bekalan air, di padang pasir yang panas terik. Walau segunung permata yang kita miliki pada saat itu, tidak berguna, kerana yang kita perlukan adalah air dan sekiranya ada yang mahu menukarkan segelas air dengan permata yang kita miliki, maka kita sanggup?

Sungguh, ketenangan ini adalah satu anugerah yang sangat istimewa. Kerana ia tidak dimiliki oleh sesiapa, melainkan Allah S.W.T. Manusia tidak dapat memberikan ketenangan, harta bertimbun bukan syarat memiliki ketenangan, paras rupa bukan juga tukaran ketenangan, keluarga dan sahabat bukan jaminan, kerana di sinilah terletaknya Keadilan dan Keagungan Allah S.W.T.

Andai saja ketenangan itu mampu dibeli oleh si kaya, maka bagaimana dengan mereka yang miskin? Kalau ketenangan itu syaratnya kecantikan rupa paras, maka bagaimana dengan si hodoh? Sekiranya ketenangan itu pada pangkat yang tinggi, bagaimana pula dengan si hamba? Andai ketenangan itu pada kaum kerabat dan keluarga, bagaimana dengan si yatim piatu yang tidak punya sesiapa? Maha Adilnya Allah S.W.T.

Indahnya, Allah meletakkan ketenangan pada hati-hati yang dekat dengan-Nya, firman-Nya:

'Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana' [Al Fath: 4]

Ya, pastinya segala sesuatu di atas dunia ini ada harganya, begitu juga dengan ketenangan. Harganya bukan tukaran wang mahupun harta, namun adalah keimanan kepada pemiliknya ketenangan. Mana mungkin kita mendapat ketenangan, kalau pemiliknya kita dustakan! Lalu bila hatimu dipagut resah, jiwamu hilang arah, hatimu dirundung gundah, maka mendekatlah kamu kembali kepada Allah! Mintalah kepada-Nya. Hanya Dia. Hanya Dia yang mampu menurunkan ketenangan itu ke dalam hatimu. Dialah saja yang berkuasa mendamaikan hatimu, sedamai sungai mengalir tenang, sedingin salju menyejukkan perasaan, sebening awan berarak perlahan. Itulah yang ditunggu-tunggu, bagi pemilik jiwa yang kegundahan.

Lantas, yakinlah kita bahawa tiada sesiapa, tiada apa-apa yang mampu menghadiahkan ketenangan itu, melainkan Allah S.W.T. Namun tidakkah kita malu, di saat kita perlukan sesuatu, kita mencari-cari Allah, namun saat kita telah memperolehi apa yang kita mahu, kita lupa! Kita lupa kepada-Nya. Allahu Rabbi, di manakah tempatnya Allah di hati kita? Mungkinkah ini sebabnya Allah menarik seketika ketenangan dalam jiwa kita, kerana kita telah jauh daripada-Nya, kita lupa kepada-Nya!

Ayuh, sama-sama kita renungi. Andainya ada ketenangan di hati kita saat ini, maka bersyukur dan ingatlah selalu kepada-Nya. Namun sekiranya ketenangan itu diambil seketika oleh-Nya, maka kembalilah bersegera membawa hati kita kepada-Nya.

Dia sedang menunggumu,
Dia sedia menyambutmu,
Tunjukkan pada-Nya hatimu yang terluka,
Adukan pada-Nya betapa kau kecewa,
Kisahkan pada-Nya betapa kau hiba,
Pasti kau takkan kecewa kerana Dia sungguh kasih kepadamu,
Walaupun hari-hari yang lalu kau pernah dan seringkali melupakan-Nya.

Namun, hari ini pabila kau datang pada-Nya, Dia akan berlari mendapatkanmu. Namun, ingatlah! Jangan pernah lupa kepada-Nya bila telah Dia berikan ketenangan lalu membebaskanmu dari belenggu kesukaran! Bukankah Dia terlebih dahulu memujuk kita hamba-Nya dengan firman-Nya:

'(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram' [Ar-Ra'd: 28]

Ramadhan Al-Mubarak


‎"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka"
Aku berazam agar Ramadhan kali ini akan memberi kesan positif dalam hidup ku, suami, anak dan keluarga. Aku harap Tuhan meredhai aku. Ameen