Dengan nama Allah, kumulakan butir bicara ini. Agar ia keluar dari hatiku yang tulus ikhlas dan seterusnya akan meresap ke dalam jiwamu wahai suamiku tercinta dengan penuh ketenangan hendaknya. Selawat dan salam untuk baginda junjungan, pembawa hidayah ketuhanan buat sekian hamba Allah.
Kesyukuran yang memenuhi bumi dan melangkaui alam ini kupersembahkan pada Allah di atas kurnia yang tiada nilainya buatku. Kurniaan nikmat teragung selepas iman dan Islam yang mendiami hatiku dan dengannyalah aku hidup dan mati.
Inilah dinamakan takdir ketentuan Allah,
Syukur pada Allah, pertemuan dibumi Anbiya, walau pun singkat, buat ku bahagia,
Kisah, kasih dan cinta yang tersemai rupanya telah tercatat, akan tibanya kesuatu titik perjanjian suci di atas nama dan kalam Ilahi.
Ikatan yang menghalalkan hubungan cinta diantara aku dan dirimu.
Ijab dan qabul bersaksi sejak 2 tahun yang lalu, dengan izin Allah, kita masih bersama memadu kasih mencari redha Ilahi.
Duhai suamiku tersayang,
Bukan sedikit pengorbanan yang dilakukan dalam mengejar impian sebuah kebahagiaan yang kita idamkan. Malah, saat pertama kali dahiku kau kucup adalah detik terindah yang tidak akan kulupakan terakam dalam hidupku. Tika itu terasa mengalir benih cinta dari dalam hatimu memasuki lubuk jiwaku. Indahnya saat itu.
Duhai suami kesayangan ku,
Terima kasih kerana membahagiakan hidup ini, tidak pernah rasa sekalipun rasa diri ini diabaikan, malah rasa kasih dan sayang semakin bertambah dengan adanya insan kecil dan comel dalam hidup kita,
Menyerikan dan melengkapkan.
Duhai suamiku tercinta,
Terima kasih ku ungkapkan atas kesabaran dan keteguhan hatimu melayari bahtera kehidupan kita bersama. Terima kasih yang mendalam dari hati ini atas ketabahanmu mendidik anak kita yang semakin membesar dengan kasih sayang dan kecerdasan iman yang kita curahkan. Tanpa rasa jemu engkau sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraanku dalam titipan doamu.
Duhai kasih, duhai sayang,
Saat ini, aku merupakan keutamaan bagimu selepas Allah dan Rasulmu. Wajib aku mematuhimu selama mana kau tidak menyuruhku untuk melakukan sesuatu yang menjadi larangan Tuhan. Kau sering mengkhabarkan pada ku, ‘hiasilah wajahmu dengan senyuman kerana senyumanmu itu penambat hatiku’. ‘Jagalah tutur katamu, karana lidahmu itu tajamnya boleh melukakan hatiku’. Itu lah yang kau pinta.
Fahamilah aku, kerana aku hanyalah seorang wanita biasa yang tiada keistimewaan dihadapan Tuhanmu dan Tuhanku. Bersabarlah dengan aku, kerana aku manusia yang tidak pernah tidak berbuat salah. Tatkala itu maafkanlah aku.
Wahai sayang,
Doaku; Ya Allah, jadikanlah kami ini pasangan yang bahagia lagi dirahmatiMu selama-lamanya.
Kurniakanlah kami keberkahan hidup, kedamaian hati dan kerukunan rumah tangga.
Ya Allah, hiasilah hidup kami dengan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu dendam yang berpanjangan yang tiada penghujungnya.
Janganlah Engkau keringkan hati dan jiwa kami dari perasaan cinta dan kasih sayang kerana ia akan membawa padah yang tidak tertanggung oleh jiwa kami ini.
Ya Allah, kurniakanlah dari kami zuriat keturunan yang soleh dan solehah yang teguh berpendirian yang akan membawa panji-panji menyambung perjuangan di atas jalanMu.
Ya Allah, kurniakan kami iman yang berkekalan, rezeki yang berterusan dan kemuliaan memasuki SyurgaMu bersama Rasullulah.
Ya Allah, izinkanlah kami menikmati hidup bahagia ini sehingga satu saat yang Engkau tetapkan bagi kami tanpa sedikit pun duka yang terpalit diantara kami di hati kami.
Ya Allah, berkatilah kami, redha kan lah kami hendak bersama-sama keSyurgaMu.
Selamat Ulangtahun Perkahwinan kita yang ke-2, sayang......
(7 Mac 2009)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan