Isnin, 12 Julai 2010

Mengapa membaca al Qur’an ketika kita tidak mengerti Maksudnya?


Ada seorang muslim tua bersama seorang cucunya di sebuah pergunungan di bahagian timur Kentucky, Amerika. Datuknya selalu membaca Qur’an selepas solat subuh setiap hari. Cucunya berusaha meniru setiap tingkah laku datuknya.


Suatu hari, cucu bertanya pada datuknya, “Datuk! Aku berusaha membaca Al- Qur’an seperti dirimu tetapi aku tidak mengerti isinya. Jikapun ada sedikit yang kufahami, ia akan terlupa setiap kali aku menutup kitab itu. Lalu, apa gunanya aku membacanya?”


Dengan perlahan Datuknya membalikkan badan dan berhenti dari memasukkan batu bara ke dalam tungku pemasak. Ia menjawab: “Ambillah bakul ini, bawalah ke sungai di bawah sana dan bawakan untukku sebakul air!”


Cucu membawa bakul hitam penuh jelaga batu bara tersebut ke sungai dan mengambil air. Namun air itu telah habis menitis sebelum sampai ke rumah. Datuknya ketawa dan meminta cucu agar mencubanya sekali lagi: “Mungkin kau harus lebih cepat membawa airnya ke sini.”


Cucu berusaha berlari, namun air itu lebih cepat keluar dari bakul sebelum sampai ke rumah. Dengan termengah-mengah ia pun mengatakan kepada Datuknya bahawa tidak mungkin mengambil air dengan bakul. Sebagai gantinya ia akan mengambil air dengan baldi.


“Aku tidak perlu satu baldi air, yang kuinginkan adalah sebakul air!” jawab Datuknya. “Kau perlu berusaha lebih keras,” marah Datuk, sambil menyuruhnya mengambil air sekali lagi. 


Datuk pun pergi ke luar rumah untuk melihat usaha cucunya. Kali ini cucunya sangat yakin bahawa tidak mungkin membawa air menggunakan bakul. Namun ia berusaha memperlihatkan kepada datuknya bahawa secepat manapun ia berlari, air itu akan habis keluar dari bakul sebelum ia sampai ke rumah.  Kejadian yang sama berulang. Cucu sampai kepada Datuknya dengan bakul yang kosong. “Lihatlah Tuk! Tidak ada gunanya membawa air dengan bakul.” katanya.

“Jadi, kau fikir tidak ada gunanya?”, Datuknya balik bertanya. “Lihatlah bakul itu!” pinta Datuknya.

Ketika cucu memerhatikan bakul itu sedarlah ia bahawa kini bakul hitam itu telah bersih dari jelaga, baik bahagian luar mahupun dalamnya, dan terlihat seperti bakul baru.


“Cucuku, demikianlah yang terjadi ketika engkau membaca Al-Qur’an. Engkau mungkin tidak mengerti atau tidak dapat mengingati apa yang engkau baca darinya. Namun ketika engkau membacanya, engkau akan dibersihkan dan mengalami perubahan, luar mahupun dalam. Itulah kekuasaan dan nikmat Allah kepada kita!”.

Jumaat, 9 Julai 2010

Mengembirakan Orang Lain


Assalamualaikum, w.b.t
Puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w, keluarga, sahabatnya, orang-orang yang mengikut syafaatnya hingga hari akhirat.

Muslim yang menghilangkan kesedihan saudaranya akan dipandang mulia oleh Allah. Sabda Nabi s.a.w. - "Amalan yang utama ialah kegembiraan yang kamu tanamkan ke dlam hati seorang Muslim"- Riwayat Ibnu 'Ady.

Rasullulah s.a.w juga bersabda: "Sesiapa yang melapangkan seorang Muslim daripada satu kesusahan dunia, Allah akan melapangkannya daripada kesusahannya pada hari kiamat." - Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa'i, Tirmizi dan Ibn Majah.

Banyak cara boleh dibuat untuk mengembirakan saudara-saudara kita yang lain. Antaranya memberi hadiah pada peristiwa-peristiwa penting dalam hidupnya seperti hadiah sempena hari lahir atau ulang tahun.

Hadiah dari seorang sahabat amat bermakna apatah lagi jika dengan keikhlasan hati. Hadiah itu akan mencetuskan nilai-nilai kasih sayang. Sabda Rasullulah bermaksud: "Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana ia boleh melahirkan perasaan kasih sayang dan akan menghilangkan permusuhan." - Riwayat Bukhari dan Abu Ya'la.

Cara-cara lain yang boleh kita fikirkan untuk mengembirakan hati orang disekeliling kita. Misalnya, bagi para pendakwah, mencari cara yang kratif dalam memikat hati orang-orang yang didakwahnya demi membawa mereka mengenali Allah dengan hati yang terbuka.

Akhlak mulia adalah keperibadian murni dan disukai oleh semua orang. Malah, ia boleh mengembirakan dan membuatkan hati sesiapa sahaja tenang apabila bersama. Akhlak ibarat mutiara bagi individu Islam.

Adakalanya hanya dengan kata-kata penyejuk boleh memberi sinar kegembiraan kepada orang lain. Oleh itu, janganlah kedekut dengan kata-kata, acapkali ianya sangat diperlukan oleh sahabat kita.

Rabu, 7 Julai 2010

Berdoa Untuk Ceria

Tiada senjata yang paling canggih untuk umat islam dari dahulu hinggalah ke akhir zaman ini melainkan doa. "Doa adalah senjata orang mukmin," begitu kata-kata baginda s.a.w. kepada umatnya.

Doalah satu-satunya jalan yang kita semua maklumi akan peranannya tetapi sayang, hampir-hampir dilupai ditelan arus kemodenan teknologi canggih. Kononnya alatan teknologi itulah yang mampu membanggakan ketamadunan umat, sehingga kita lupa bahawa senjata ke hadapan untuk umat Islam ini adalah doa.

Hakikatnya, bagi kita umat yang memahami kesyumulan Islam, doalah senjata yang akan terus berlawan dengan takdir hingga ke hari kiamat dan doa jugalah yang mampu mengubah takdir.

Berdoalah agar kita dapat bangkit esok pagi dengan penuh positif dan ceria.

Selasa, 6 Julai 2010

Check List Ahli Perniagaan Muslim Cemerlang drp kitab Petua Murah Rezki Jauhi Hutang, terbitan Telaga Biru


• Taat terhadap perintah Allah
• Komitmen,keazaman dan ketabahan yang tinggi
• Ransangan dan dorongan untuk berdaya maju
• Tahu mengambil hati pelanggan
• Berorientasikan peluang dan matlamat
• Berinisiatif dan bertanggungjawab
• Menyelesaikan masalah secara konsisten
• Realistik
• Mencari dan Menggunakan maklumbalas
• Mengambil risiko yang diperhitungkan
• Berintegriti dan boleh dipercayai 
• Tidak mengambil kesempatan atas orang lain termasuk mencuri hak orang lain, mengurangkan takaran dsb 
• Pendapatan hendaklah dizakatkan
• Rajin bersedeqah

Jumaat, 2 Julai 2010

Cabaran Mama Moden







Balik kerja, terus jemput anak di rumah pengasuh. Tanya serba sedikit, bagaimana anak hari ini, cukupkah keperluan yang diberi pagi tadi (Susu Ibu (dibekukan) sekurang-kurangnya 10oz setiap hari , Bubur masak untuk seminggu (bekukan juga), 2 persalinan pakaian, Nestum (backup untuk bubur), peralatan mandian (yang penting Minyak Yu Yi cap Limau). Tanya juga bagaimana, perangai anak hari ini, meragamkah, gembira atau lasak.

Seperti biasa, Cikgu Ana (pengasuh Muhammad) akan membuat rumusan untuk hari ini, Muhammad dah makan banyak, Muhammad tidak meragam... baik budaknye.. Alhamdulillah. Kalau ada calar-calar sikit kat tepi bahagian mata, itu disebabkan kuku Muhammad yang cepat panjang. Disebabkan kulit Muhammad yang putih dan gebu, jadi segala calar dan lebam akan cepat nampak. Tapi calar-calar tu akan cepat baik. Cikgu Ana akan beritahu dahulu, sebelum aku bertanya itu dan ini. Itu agak rutin. Kalau diikutkan hati memang nak tanya lebih banyak, sebab bila kita sudah keluar bekerja, anak sudah tidak dihadapan mata. Cuma hanya berdoa, moga Allah memberi perlindungan kepada anak kecil kita, daripada marabahaya.

Sampai di rumah, Muhammad memang agak manja. Muhammad akan Brestfeeding dahulu, cara dia merengek pun kita dah tahu, nak disusukan. Seperti membalas dendam, Muhammad akan menyusu agak lama. Lepas susu yang kanan, susu yang kiri pula. Semasa menyusu, Muhammad akan meletakan tangannya ke mulutku. Aku akan bezikir atau membaca surah-surah lazim. Muhammad lebih menyukai jika aku mengajar dia sebutan Alif, Ba, Ta, dan Sa. Seakan-akan dia mahu mengikutinya. Perkara itu yang menjadikan aku tak rasa penat pun bila balik kerja, bekejar ke rumah pengasuh dan sampai kerumah.... dan berfikir nak buat apa dirumah (mengemas atau mahu memasak).

Kebiasaan Abi Muhammad balik lambat, jarak tempat kerja suami ku agak jauh, jadi menghantar dan mengambil anak memang telah menjadi tanggungjawab aku. Suami amat memahami aku, jika aku tidak memasak, dan ada hari-hari Muhammad mudah diuruskan dirumah, aku akan mula memasak, selalunya makanan kegemaran suamiku. Sebenarnya apa sahaja yang aku masak adalah, makanan kegemarannya. Aku bersyukur, suami tidak banyak komen. Walaupun pada awal perkahwinan kami, keserasian tidak mudah, baik dari segi makanan, perlakuan, dan cara pemikiran. Disebabkan suami adalah orang Pantai Timur, Kelantan dan Aku orang Melaka, jadi ketidaksamaan cara hidup membuatkan kami seperti dicabar untuk mencari identiti yang baik dan positif.

Kelahiran Muhammad, menambahkan lagi keserian rumahtangga kami. Keserasian yang tidak mudah itu tadi, sudah banyak berubah. Banyak titik persamaan kami temui, dan pada Allah jua kami bermohon moga rumahtangga kami bahagia dan diberkati serta diramati oleh Allah S.W.T. Kami sangat yakin, Allah banyak memudahkan urusan rumahtangga kami. Sebab kami yakin Allah sangat dekat dengan kami. 

Awal pengenalan kami, seperti sudah diaturkan oleh Allah, aku berkenalan dengan suami semasa mengerjakan umrah pada bulan yang barkah iaitu bulan Ramadhan 2 tahun yang lalu. Aku seperti mengejar umur yang kian memanjat angka 30an, mahu disegerakan ijabkabul. Jadi membuat keputusan untuk berkahwin adalah perkara yang terbaik yang pernah aku buat, suami yang lebih muda umurnya daripada aku pergi berjumpa dengan Mak dikampung untuk meminang. Memang suamiku lebih muda daripada aku, tetapi disebabkan didikan dan cara hidupnya membuatkan setiap buah fikiran dan perlakuannya lebih matang dari umurnya. Pun begitu, kadang-kadang perlakuan kebudak-budakkannya terlihat juga, tetapi tidak pun menjadi masalah pada aku.

Semuanya bermula dengan no. 3....., masa perkenalan kami (bercinta) selama 3 bulan, bertunang pada bulan Disember, dan melangsungkan perkhwinan pada bulan Mac (7/3/ 2009), setelah 3 bulan bertunang dan pada 26 November mendapat anak, 3 minggu awal dari tarikh kelahiran.

Aku bertuah memiliki Mak dan Adik-beradik serta keluarga yang tidak membantah dengan keputusan untuk berkahwin. Agak drastik, dan tiada dalam perancangan awal keluarga. Mungkin umurku yang agak terlewat untuk berkahwin, kalau diikutkan mungkin orang akan memanggil aku anak dara tua. Alhamdulillah semuanya adalah dalam perancangan Allah S.W.T.

Allah maha besar, kami tidak menunggu lama untuk mendapat anak. Semasa awal kehamilanku, aku dan suami sangat gembira. Cita-cita untuk mendapatkan anak soleh, mula terbit seawal kehamilan lagi. Aku sering berdoa semoga anak yang aku kandungkan ini, menjadi seorang Tahfiz dan pendamping Al-Quran. Pun begitu ayat-ayat suci Al-Quran sering dipendengarkan semasa aku sibuk bekerja melalui komputer, dalam kereta semasa memandu, dan dirumah, aku sering mengaji Surah-surah pilihan seperti Surah Al-Baqarah, Surah Al-Imran, Surah Yusof, Surah Maryam, Surah Yasin dan surah-surah lazim yang lain, supaya nanti apabila anak ini dilahirkan sudah terbiasa dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran.

Alhamdulillah, Allah sangat sayang pada kami. Jalan untuk membentuk anak yang Soleh, Tahfiz dan Pendamping Al-Quran itu lebih terang dan lebih jelas, apabila suamiku diterima bekerja sebagai tenaga pengajar Al-Quran, di Pusat Bimbingan Al-Quran. Allah itu maha adil dan pemurah, apa yang kita minta selalunya akan ditunaikan, lambat dan cepatnya sahaja.

Dari pembacaan dan pencarian aku di internet, aku banyak belajar tentang pemberian susu ibu, kesedaran aku mula timbul, semasa akhir kehamilan. Betapa pentingnya penyusuan susu ibu ini sering dikatakan dalam berbagai surah dalam Al-Quran seperti:

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan itu” – surah Al-Baqarah, ayat 233

Dari situ aku berazam untuk menyusukan Muhammad, sehingga dia 6 bulan dan jika aku berkemmpuan sehingga 2 tahun. Sekarang Muhammad sudah 7 bulan, dan sehingga kini aku masih memberi susu badan untuk kebaikannya. Banyak kebaikan yang diperolehi, terutamanya kesihatan Muhammad dalam keadaan baik, demam kurang, tiada alahan pada susu dan berat Muhammad pun dalam keadaan baik dan Normal.

Aku sering membaca, anak-anak akan jadi pintar, jika kita mengajar mereka dengan Al-Quran. Itulah fitrahnya. Begitulah cabaran aku, aku ingin menjadi Ibu yang terbaik untuk Muhammad, Isteri yang Solehah dan pada masa yang sama Anak yang baik.

Diriku bukanlah Khadijah,
Yang begitu sempurna peribadinya,
Agung cintanya kepada Allah dan Rasulullah,
Diperjuangkan hartanya fisibilillah.

Bukan pula Aisya Humaira
Isteri yang Bijak bistari lagi faqihah,
Srikandi Islam yang Teguh Keimanannya,
Ummul Mukminin gelaran ternama,
Peniup semangat suami tercinta.

Bukan juga penghulu wanita di syurga,
Puteri Rasulullah Siti Fatimah,
Akur setiap perintah suami juga ayah,
Harta duniawi tidak dipedulikan,
Tak pernah dipinta, dituntut jauh sekali.

Bukan pula Hajar,
Yang begitu setia dalam sengsara,
Yang pengharapannya hanya pada Allah,
Ditinggal suami akur tanpa bantah,
Saat ujian datang menimpa, Ketabahan diuji kali kedua,
Anak kesayangan hendak disembelih.

Bukan pula Khaulah,
Wanita bestari lagi berani,
Berhadapan Rasulullah meminta fatwa,
Doanya di dengar Allah langit ke tujuh,
Begitu besar perhatian Allah tertumpu padanya,
Pabila turun surah Al-Mujadalah.

Bukan pula Asma,
Puteri kesayangan Abu Bakar,
Wanita pemurah Dzatun Nithaqin,
Hijrah pertama menyaksikan pengorbanannya,
Tak pernah bosan mendoakan anaknya,
Darinya lahir generasi berkualiti,
Siap berjuang membela syahadah.

Diriku hanya seorang muslimat yang biasa, malah terlalu biasa....,
Wanita akhir zaman yang berusaha untuk menjadi Isteri Solehah,
Menjana kecemerlangan keluarga dan ummah,
Yang pasti.... untuk membentuk anak menjadi soleh dan solehah,
Kepada Allah memohon pertolongan.


Khamis, 1 Julai 2010

Jiwa yang Baik

Jika tiada urusan, saya akan balik kampung, di Masjid Tanah untuk melawat Mak, nenek dan keluarga yang lain dikampung. Sudah menjadi rutin, saya dan suami semenjak kawin setahun yang lalu. Jika minggu ini balik ke Kelantan, minggu seterusnya akan balik ke Melaka.

Suami memang seorang yang bertimbang rasa, aku sangat bersyukur memperolehi suami yang sangat menyayangi aku dan keluargaku. Alhamdulillah, Allah itu Maha kaya dan berkuasa, dalam menentukan pasangan kita didunia ini.

Dalam kesibukan kita bekerja, menguruskan keluarga Janganlah kita melupakan orang-orang tua kita. Dan yang penting, kita perlu tahu, suatu hari nanti kita pun akan tua.

Nenek saya selalu berpantun, walaupun sekarang nenek sudah nyanyuk tetapi kebanyakan pantun nenek berkisar pengajaran. Walaupun ringkas tetapi sangat menarik. 

Budak dua beradik,
Pakai Baju Dua serupa,
Kalau Ada Jiwa Yang Baik,
Bolehlah dibelah dua.

Ini adalah salah satu pantun nenek yang diulang-ulang sehingga kini, jika anak cucu datang berkunjung. Pantun ini juga yang diajar pada cucu-cucunya yang lain. Sehinggakan anak kecilku (Muhammad-cicitnya) juga diajarnya. Pantun ini sangat terkesan pada saya sehingga kini.

Ada satu pantun lagi yang dari kecil saya dengar, dan saya membesar dengan pantun-pantun nenek yang menarik dan ringkas.

Burung Kenek-kenek,
Terbang Atas Batu,
Pesan Datuk Nenek,
Jangan Jadi Hantu.

Ini pula versi Nenek Lang (adik kepada nenekku)

Burung Kenek-kenek,
Terbang Atas Batu,
Pesan Datuk Nenek,
Sembahyang 5 waktu.

Ilmu di sebalik No. 1-10


Berikut ini dicatatkan beberapa fakta yang sangat baik untuk kita sama-sama ingat dan ambil pengajaran daripadanya.  Fakta ini sengaja disusun mengikut nombor / angka dari 1 hingga 10 agar ianya memudahkan kita untuk ingat dan ambil manfaat daripadanya.

ANGKA 1:
Istiqamah itu satu jalan.  Awalnya kemulian, pertengahannya keselamatan dan akhirnya
adalah syurga yang menanti.

ANGKA 2:
Dua titisan yang sangat bernilai di hari akhirat yang dapat memadamkan kepanasan api di padang mahsyar :
1) Air mata orang yang menangis {bertaubat kepada Allah} terutama di malam hari.
2) Darah para syuhada di medan jihad fisabilillah.

ANGKA 3:
Tiga perkara yang menjadi kesukaan dan kebahagian hidup Rasulullah SAW:
1) Bau-bauan yang harum {wangi}
2) Isteri yang solehah
3) Solat

ANGKA 4:
Berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhah: Barangsiapa yang di berikan kepadanya empat perkara, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan dunia dan akhirat:
1) Sifat warak yang memeliharanya daripada apa yang di haramkan oleh Allah.
2) Dia hidup bersama masyarakat dengan akhlak yang penyantun.
3) Malu yang menegahnya dari kejahilan org2 jahil.
4) Juga isteri solehah yang membantunya dalam urusan dunia dan akhirat.

ANGKA 5:
Berkata seorang soleh : Ubat bagi hati itu ada pada lima perkara:
1) Membaca al-quran dengan tadabbur {ulang2}
2) Kosong perut.
3) Melakukan qiamullail.
4) Memohon ampun di waktu sahur.
5) Mendampingi orang2 soleh {ulamak}

ANGKA 6:
Enam cara menghindarkan dari iblis:
1) Bertaqwa kepada Allah di mana sahaja.
2) Selalu meminta pertolongan daripada Allah.
3) Selalu berzikir dan berwirid.
4) Memperbaharui taubat.
5) Memperbanyakkan istighfar
6) Selalu meningkatkan dan memperkemaskan ibadah di samping asasnya ilmu yang bermanfaat.

ANGKA 7:
Tujuh anak-anak rasulullah SAW:
1) Qasim
2) Abdullah
3) Ibrahim
4) Zainab
5) Ruqaiyah
6) Fatimah
7) Umi kalsum

ANGKA 8:
Ada lapan senjata utama perempuan yang boleh mendatangkan fitnah besar kepada islam dan umatnya :
1) Air mata
2) Merajuk dan suka bermanja –manja
3) Berhias diri dan bergaya
4) Berpura -pura sakit
5) Senyuman
6) Penipuan
7) Kata-kata yang manis
8) Mengugut bahawa ia akan lari.

ANGKA 9:
Bila taqwa tidak ada, maka para ulama akan di kuasai oleh sembilan nafsu-nafsu berikut :
1) Sombong atau ego
2) Ujub dan riak
3) Hasad dengki
4) Susah untuk menerima kebenaran dari orang lain
5) Suka berdebat terutama sesama ulama
6) Gunakan ilmu sebagai alat untuk kepentingan dunia, pangkat dan wang ringgit
7) Pemarah
8) Ingin dihormati {gila puji}
9) Kalau mampu akan hidup bermewah- mewah.

ANGKA 10:
Ada sepuluh macam orang yang mayatnya tidak busuk dan tidak reput di dalam kubur dan mereka akan bangun ke padang mahsyar dengan tubuh yang asal dari kubur:
1) Para nabi dan rasul
2) Para ahli jihad {mujahid}
3) Para ahli ulama
4) Para syuhada
5) Huffazul quran
6) Imam atau pemimpin yang adil
7) Muazzin
8) Wanita yang mati kerana kelahiran {beranak}
9) Orang yang mati d bunuh atau dianiaya
10) Orang yang mati pada siang atau d malam jumaat.