Jumaat, 2 Julai 2010

Cabaran Mama Moden







Balik kerja, terus jemput anak di rumah pengasuh. Tanya serba sedikit, bagaimana anak hari ini, cukupkah keperluan yang diberi pagi tadi (Susu Ibu (dibekukan) sekurang-kurangnya 10oz setiap hari , Bubur masak untuk seminggu (bekukan juga), 2 persalinan pakaian, Nestum (backup untuk bubur), peralatan mandian (yang penting Minyak Yu Yi cap Limau). Tanya juga bagaimana, perangai anak hari ini, meragamkah, gembira atau lasak.

Seperti biasa, Cikgu Ana (pengasuh Muhammad) akan membuat rumusan untuk hari ini, Muhammad dah makan banyak, Muhammad tidak meragam... baik budaknye.. Alhamdulillah. Kalau ada calar-calar sikit kat tepi bahagian mata, itu disebabkan kuku Muhammad yang cepat panjang. Disebabkan kulit Muhammad yang putih dan gebu, jadi segala calar dan lebam akan cepat nampak. Tapi calar-calar tu akan cepat baik. Cikgu Ana akan beritahu dahulu, sebelum aku bertanya itu dan ini. Itu agak rutin. Kalau diikutkan hati memang nak tanya lebih banyak, sebab bila kita sudah keluar bekerja, anak sudah tidak dihadapan mata. Cuma hanya berdoa, moga Allah memberi perlindungan kepada anak kecil kita, daripada marabahaya.

Sampai di rumah, Muhammad memang agak manja. Muhammad akan Brestfeeding dahulu, cara dia merengek pun kita dah tahu, nak disusukan. Seperti membalas dendam, Muhammad akan menyusu agak lama. Lepas susu yang kanan, susu yang kiri pula. Semasa menyusu, Muhammad akan meletakan tangannya ke mulutku. Aku akan bezikir atau membaca surah-surah lazim. Muhammad lebih menyukai jika aku mengajar dia sebutan Alif, Ba, Ta, dan Sa. Seakan-akan dia mahu mengikutinya. Perkara itu yang menjadikan aku tak rasa penat pun bila balik kerja, bekejar ke rumah pengasuh dan sampai kerumah.... dan berfikir nak buat apa dirumah (mengemas atau mahu memasak).

Kebiasaan Abi Muhammad balik lambat, jarak tempat kerja suami ku agak jauh, jadi menghantar dan mengambil anak memang telah menjadi tanggungjawab aku. Suami amat memahami aku, jika aku tidak memasak, dan ada hari-hari Muhammad mudah diuruskan dirumah, aku akan mula memasak, selalunya makanan kegemaran suamiku. Sebenarnya apa sahaja yang aku masak adalah, makanan kegemarannya. Aku bersyukur, suami tidak banyak komen. Walaupun pada awal perkahwinan kami, keserasian tidak mudah, baik dari segi makanan, perlakuan, dan cara pemikiran. Disebabkan suami adalah orang Pantai Timur, Kelantan dan Aku orang Melaka, jadi ketidaksamaan cara hidup membuatkan kami seperti dicabar untuk mencari identiti yang baik dan positif.

Kelahiran Muhammad, menambahkan lagi keserian rumahtangga kami. Keserasian yang tidak mudah itu tadi, sudah banyak berubah. Banyak titik persamaan kami temui, dan pada Allah jua kami bermohon moga rumahtangga kami bahagia dan diberkati serta diramati oleh Allah S.W.T. Kami sangat yakin, Allah banyak memudahkan urusan rumahtangga kami. Sebab kami yakin Allah sangat dekat dengan kami. 

Awal pengenalan kami, seperti sudah diaturkan oleh Allah, aku berkenalan dengan suami semasa mengerjakan umrah pada bulan yang barkah iaitu bulan Ramadhan 2 tahun yang lalu. Aku seperti mengejar umur yang kian memanjat angka 30an, mahu disegerakan ijabkabul. Jadi membuat keputusan untuk berkahwin adalah perkara yang terbaik yang pernah aku buat, suami yang lebih muda umurnya daripada aku pergi berjumpa dengan Mak dikampung untuk meminang. Memang suamiku lebih muda daripada aku, tetapi disebabkan didikan dan cara hidupnya membuatkan setiap buah fikiran dan perlakuannya lebih matang dari umurnya. Pun begitu, kadang-kadang perlakuan kebudak-budakkannya terlihat juga, tetapi tidak pun menjadi masalah pada aku.

Semuanya bermula dengan no. 3....., masa perkenalan kami (bercinta) selama 3 bulan, bertunang pada bulan Disember, dan melangsungkan perkhwinan pada bulan Mac (7/3/ 2009), setelah 3 bulan bertunang dan pada 26 November mendapat anak, 3 minggu awal dari tarikh kelahiran.

Aku bertuah memiliki Mak dan Adik-beradik serta keluarga yang tidak membantah dengan keputusan untuk berkahwin. Agak drastik, dan tiada dalam perancangan awal keluarga. Mungkin umurku yang agak terlewat untuk berkahwin, kalau diikutkan mungkin orang akan memanggil aku anak dara tua. Alhamdulillah semuanya adalah dalam perancangan Allah S.W.T.

Allah maha besar, kami tidak menunggu lama untuk mendapat anak. Semasa awal kehamilanku, aku dan suami sangat gembira. Cita-cita untuk mendapatkan anak soleh, mula terbit seawal kehamilan lagi. Aku sering berdoa semoga anak yang aku kandungkan ini, menjadi seorang Tahfiz dan pendamping Al-Quran. Pun begitu ayat-ayat suci Al-Quran sering dipendengarkan semasa aku sibuk bekerja melalui komputer, dalam kereta semasa memandu, dan dirumah, aku sering mengaji Surah-surah pilihan seperti Surah Al-Baqarah, Surah Al-Imran, Surah Yusof, Surah Maryam, Surah Yasin dan surah-surah lazim yang lain, supaya nanti apabila anak ini dilahirkan sudah terbiasa dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran.

Alhamdulillah, Allah sangat sayang pada kami. Jalan untuk membentuk anak yang Soleh, Tahfiz dan Pendamping Al-Quran itu lebih terang dan lebih jelas, apabila suamiku diterima bekerja sebagai tenaga pengajar Al-Quran, di Pusat Bimbingan Al-Quran. Allah itu maha adil dan pemurah, apa yang kita minta selalunya akan ditunaikan, lambat dan cepatnya sahaja.

Dari pembacaan dan pencarian aku di internet, aku banyak belajar tentang pemberian susu ibu, kesedaran aku mula timbul, semasa akhir kehamilan. Betapa pentingnya penyusuan susu ibu ini sering dikatakan dalam berbagai surah dalam Al-Quran seperti:

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan itu” – surah Al-Baqarah, ayat 233

Dari situ aku berazam untuk menyusukan Muhammad, sehingga dia 6 bulan dan jika aku berkemmpuan sehingga 2 tahun. Sekarang Muhammad sudah 7 bulan, dan sehingga kini aku masih memberi susu badan untuk kebaikannya. Banyak kebaikan yang diperolehi, terutamanya kesihatan Muhammad dalam keadaan baik, demam kurang, tiada alahan pada susu dan berat Muhammad pun dalam keadaan baik dan Normal.

Aku sering membaca, anak-anak akan jadi pintar, jika kita mengajar mereka dengan Al-Quran. Itulah fitrahnya. Begitulah cabaran aku, aku ingin menjadi Ibu yang terbaik untuk Muhammad, Isteri yang Solehah dan pada masa yang sama Anak yang baik.

Diriku bukanlah Khadijah,
Yang begitu sempurna peribadinya,
Agung cintanya kepada Allah dan Rasulullah,
Diperjuangkan hartanya fisibilillah.

Bukan pula Aisya Humaira
Isteri yang Bijak bistari lagi faqihah,
Srikandi Islam yang Teguh Keimanannya,
Ummul Mukminin gelaran ternama,
Peniup semangat suami tercinta.

Bukan juga penghulu wanita di syurga,
Puteri Rasulullah Siti Fatimah,
Akur setiap perintah suami juga ayah,
Harta duniawi tidak dipedulikan,
Tak pernah dipinta, dituntut jauh sekali.

Bukan pula Hajar,
Yang begitu setia dalam sengsara,
Yang pengharapannya hanya pada Allah,
Ditinggal suami akur tanpa bantah,
Saat ujian datang menimpa, Ketabahan diuji kali kedua,
Anak kesayangan hendak disembelih.

Bukan pula Khaulah,
Wanita bestari lagi berani,
Berhadapan Rasulullah meminta fatwa,
Doanya di dengar Allah langit ke tujuh,
Begitu besar perhatian Allah tertumpu padanya,
Pabila turun surah Al-Mujadalah.

Bukan pula Asma,
Puteri kesayangan Abu Bakar,
Wanita pemurah Dzatun Nithaqin,
Hijrah pertama menyaksikan pengorbanannya,
Tak pernah bosan mendoakan anaknya,
Darinya lahir generasi berkualiti,
Siap berjuang membela syahadah.

Diriku hanya seorang muslimat yang biasa, malah terlalu biasa....,
Wanita akhir zaman yang berusaha untuk menjadi Isteri Solehah,
Menjana kecemerlangan keluarga dan ummah,
Yang pasti.... untuk membentuk anak menjadi soleh dan solehah,
Kepada Allah memohon pertolongan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan