Khamis, 1 Julai 2010

Jiwa yang Baik

Jika tiada urusan, saya akan balik kampung, di Masjid Tanah untuk melawat Mak, nenek dan keluarga yang lain dikampung. Sudah menjadi rutin, saya dan suami semenjak kawin setahun yang lalu. Jika minggu ini balik ke Kelantan, minggu seterusnya akan balik ke Melaka.

Suami memang seorang yang bertimbang rasa, aku sangat bersyukur memperolehi suami yang sangat menyayangi aku dan keluargaku. Alhamdulillah, Allah itu Maha kaya dan berkuasa, dalam menentukan pasangan kita didunia ini.

Dalam kesibukan kita bekerja, menguruskan keluarga Janganlah kita melupakan orang-orang tua kita. Dan yang penting, kita perlu tahu, suatu hari nanti kita pun akan tua.

Nenek saya selalu berpantun, walaupun sekarang nenek sudah nyanyuk tetapi kebanyakan pantun nenek berkisar pengajaran. Walaupun ringkas tetapi sangat menarik. 

Budak dua beradik,
Pakai Baju Dua serupa,
Kalau Ada Jiwa Yang Baik,
Bolehlah dibelah dua.

Ini adalah salah satu pantun nenek yang diulang-ulang sehingga kini, jika anak cucu datang berkunjung. Pantun ini juga yang diajar pada cucu-cucunya yang lain. Sehinggakan anak kecilku (Muhammad-cicitnya) juga diajarnya. Pantun ini sangat terkesan pada saya sehingga kini.

Ada satu pantun lagi yang dari kecil saya dengar, dan saya membesar dengan pantun-pantun nenek yang menarik dan ringkas.

Burung Kenek-kenek,
Terbang Atas Batu,
Pesan Datuk Nenek,
Jangan Jadi Hantu.

Ini pula versi Nenek Lang (adik kepada nenekku)

Burung Kenek-kenek,
Terbang Atas Batu,
Pesan Datuk Nenek,
Sembahyang 5 waktu.

Ilmu di sebalik No. 1-10


Berikut ini dicatatkan beberapa fakta yang sangat baik untuk kita sama-sama ingat dan ambil pengajaran daripadanya.  Fakta ini sengaja disusun mengikut nombor / angka dari 1 hingga 10 agar ianya memudahkan kita untuk ingat dan ambil manfaat daripadanya.

ANGKA 1:
Istiqamah itu satu jalan.  Awalnya kemulian, pertengahannya keselamatan dan akhirnya
adalah syurga yang menanti.

ANGKA 2:
Dua titisan yang sangat bernilai di hari akhirat yang dapat memadamkan kepanasan api di padang mahsyar :
1) Air mata orang yang menangis {bertaubat kepada Allah} terutama di malam hari.
2) Darah para syuhada di medan jihad fisabilillah.

ANGKA 3:
Tiga perkara yang menjadi kesukaan dan kebahagian hidup Rasulullah SAW:
1) Bau-bauan yang harum {wangi}
2) Isteri yang solehah
3) Solat

ANGKA 4:
Berkata Saiyidina Ali karamallahu wajhah: Barangsiapa yang di berikan kepadanya empat perkara, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan dunia dan akhirat:
1) Sifat warak yang memeliharanya daripada apa yang di haramkan oleh Allah.
2) Dia hidup bersama masyarakat dengan akhlak yang penyantun.
3) Malu yang menegahnya dari kejahilan org2 jahil.
4) Juga isteri solehah yang membantunya dalam urusan dunia dan akhirat.

ANGKA 5:
Berkata seorang soleh : Ubat bagi hati itu ada pada lima perkara:
1) Membaca al-quran dengan tadabbur {ulang2}
2) Kosong perut.
3) Melakukan qiamullail.
4) Memohon ampun di waktu sahur.
5) Mendampingi orang2 soleh {ulamak}

ANGKA 6:
Enam cara menghindarkan dari iblis:
1) Bertaqwa kepada Allah di mana sahaja.
2) Selalu meminta pertolongan daripada Allah.
3) Selalu berzikir dan berwirid.
4) Memperbaharui taubat.
5) Memperbanyakkan istighfar
6) Selalu meningkatkan dan memperkemaskan ibadah di samping asasnya ilmu yang bermanfaat.

ANGKA 7:
Tujuh anak-anak rasulullah SAW:
1) Qasim
2) Abdullah
3) Ibrahim
4) Zainab
5) Ruqaiyah
6) Fatimah
7) Umi kalsum

ANGKA 8:
Ada lapan senjata utama perempuan yang boleh mendatangkan fitnah besar kepada islam dan umatnya :
1) Air mata
2) Merajuk dan suka bermanja –manja
3) Berhias diri dan bergaya
4) Berpura -pura sakit
5) Senyuman
6) Penipuan
7) Kata-kata yang manis
8) Mengugut bahawa ia akan lari.

ANGKA 9:
Bila taqwa tidak ada, maka para ulama akan di kuasai oleh sembilan nafsu-nafsu berikut :
1) Sombong atau ego
2) Ujub dan riak
3) Hasad dengki
4) Susah untuk menerima kebenaran dari orang lain
5) Suka berdebat terutama sesama ulama
6) Gunakan ilmu sebagai alat untuk kepentingan dunia, pangkat dan wang ringgit
7) Pemarah
8) Ingin dihormati {gila puji}
9) Kalau mampu akan hidup bermewah- mewah.

ANGKA 10:
Ada sepuluh macam orang yang mayatnya tidak busuk dan tidak reput di dalam kubur dan mereka akan bangun ke padang mahsyar dengan tubuh yang asal dari kubur:
1) Para nabi dan rasul
2) Para ahli jihad {mujahid}
3) Para ahli ulama
4) Para syuhada
5) Huffazul quran
6) Imam atau pemimpin yang adil
7) Muazzin
8) Wanita yang mati kerana kelahiran {beranak}
9) Orang yang mati d bunuh atau dianiaya
10) Orang yang mati pada siang atau d malam jumaat.

Rabu, 30 Jun 2010

Suami, Anak, Mak, Nenek.....


26 Jun 2010, genap Muhammad 7 bulan. Banyak perkara yang perlu belajar dalam mengendalikan anak, terutama semasa dia baby lagi. Celik sahaja mata, mesti kita fikirkan tentang anak. Dia nak makan apa, kenapa dia menangis?, susu yang diberi cukupkah, gembirakah anak hari ini. Semua perkara itu banyak bermain difikiran, sebab Muhammad masih kecil dan tidak pandai bercakap lagi, tidak pandai complent lagi, dan tidak pandai minta itu dan ini lagi. 

Begitulah agaknya, perkara yang bermain-main difikiran Mak semasa membesarkan aku 30 tahun yang dulu. Hendak membesarkan anak sebesar ini, berapa banyak air mata yang tumpah, berapa banyak pula duit yang dilaburkan, tidak terhintung banyaknya, jangankan kalkulator, computer yang canggih pun pasti tidak dapat mengira angka-angka yang dipaparkan.

Untuk mencari kesalahan dari pendidikan awal anak-anak memang banyak, Dari mula kita mencari pasangan, bagaimana kita cari?. Dimana kita jumpa pasangan itu?. Apakah niat kita semasa kita  berkahwin. Islam memang cantik, sehingga perkara yang sekecil itu pun diambil kira dalam pendidikan awal anak. Jangan pandang kecil perkara asas seperti itu. Perbanyaklah berdoa semoga Allah mencarikan pasangan kita yang soleh serta solehah.

Berbalik pada Anak kecil ku yang diberi nama Muhammad Izzul Adha. Memang sudah dijangka nama yang diberi, berpadanan dengannya. Setinggi-tinggi Pengorbanan itu lah maksud pada nama anak kecil ku itu. Indah bukan. Semoga anak ini menjadi anak yang soleh, percaya, Allah sangat dekat padanya, pendamping Al-Quran dan menjadikan Rasullullah S.A.W contoh ikutan. Itulah doa ku setiap hari, dan jua harapan suami.

Setiap Anak adam, telah ditentukan ajal, maut, rezekinya di dunia ini. Percayalah Allah itu sangat dekat dengan kita. Jika kita susah, masih ramai  lagi yang hidup susah dan merempat. Bersyukurlah dengan kurniaan Allah. Cukuplah Allah sahaja yang ada pada kita. Cukuplah, janganlah bersedih. Bergembiralah. Begitulah hidup ini, jika Allah tidak memberi kita jodoh yang kita cari, sebenarnya Allah sedang merencanakan yang lebih baik dari itu.

Masa kecil dulu, mak pernah meninggalkan aku, along dan adik dikampung. Nenek dan datuk yang menjaga kami. Sebenarnya banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan semasa dikampung. Nenek adalah seorang nenek yang garang pada masa itu, mana tidak garang, ketika aku darjah 1, disekolah rendah aku minta duit untuk membayar yuran sekolah. Ketika itu nenek berkeras telah membayar duit yuran tersebut. Aku mengatakan cikgu yang minta, nenek tidak mempercayai. Lalu keesokan harinya, nenek membawa parang untuk berjumpa dengan guru sekolah. Begitu keras cara pengajaran orang-orang dahulu. Tapi tidakah kita terfikir bagaimana, nenek-nenek kita mendidik anak-anak mereka. 

Bila sudah dewasa, peristiwa itu sangat terkesan pada aku. Bagaimana nenek-nenek kita, mak-mak kita dahulu sangat berhati-hati dengan permintaan anak-anak, terutamnya berkenaan wang ringgit, mereka tidak akan melepaskan perkara dengan begitu sahaja. Walaupun aku akan ketawa jika teringat peristiwa tersebut, pun menjadi bahan bualan keluarga serta jenaka semasa keluarga berkumpul, jika difikirkan balik banyak perkara yang tersirat disebaliknya.

Doa Pelembut Hati


Maka dengan sebab rahmat(yang melimpah-limpah)dari Allah(kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihani orang-orang yang bertawakal kepadanNya. - Surah Ali Imran: Ayat 159.