Jam menunjukkan pukul 3 pagi, terdengar suara rengekan si kecil Ammar tanda lapar. Lantas aku bangkit untuk bancuh susu. Terdetik di hati kalaulah aku tunaikan solat tahajjud sementara menunggu Ammar habiskan susu lagi baik. Mungkin ini panggilan dari Allah untuk hamba yang dikasihiNya.
Sweetnya Allah dia kejutkan hamba-Nya untuk bangun malam dengan cara yang cukup lembut. Adakalanya kita bangun di tengah malam untuk buang air kecil dan lapar, itulah tandanya Allah bangunkan kita untuk merintih dan mengadu pada-Nya. Namun seringkali kita alpa dan lupa.
Sebelum balik berhari raya, motosikal kesayangan suami, hampir kecurian, pencuri merosakkan rantai moto, enjin moto bocor dan banyak lagi kerosakkan yang menyebabkan suami 'patah kaki' untuk ke tempat kerja, sekali gus menghantar dan kadang-kadang mengambil aku pulang bekerja. Pada mulanya memang marah, tapi bila berbalik kepada qada dan qadar Allah, semuanya telah tertulis atas kehendaknya. Sekarang motosikal tersadai dibengkel.
Sweetnya Allah dia ingin tarbiyyah diriku dengan sifat sabar. Tanda kasih sayang-Nya kepada hamba. Barulah aku terfikir Allah rindu akan rintihanku.
Pagi, suami tersayang akan menghantar ke Komuter untuk ketempat kerja, perjalan akan mengambil masa 20 minit dalam Komuter dan 'transit' LRT selama 15 minit untuk sampai di tempat kerja. Dengan kandungan mencecah hampir 5 bulan, kadang-kadang kepenatan dan lelah untuk mengejar Komuter dan LRT. Tapi......
Sweetnya Allah aku diajar untuk menjadi seorang yang redha dengan ujian-Nya. Aku manfaatkan masa sepanjang perjalanan selama 20 minit dalam Komuter itu untuk berzikir dan berdoa kepada-Nya. Dengan rintihan ini aku kenal erti kasih sayang,lebih menghargai,bersyukur, perikemanusiaan dan sabar.
“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 216)
Adakalanya kita persoalkan mengapa harus kita yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Tapi pernahkah kita persoalkan mengapa kita yang harus mendapat kejayaan dan kenaikan pangkat ini, bukan orang lain?
Sweetnya Allah dia uji hamba-Nya untuk meningkatkan keimanan dan menghapus dosa-dosa silam jika kita redha dengan ujiannya. Di setiap kepahitan pasti ada kemanisannya.
“… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan.” (Surah Al-Insyirah)
Kehidupan manusia di bumi tidak ubah seperti seorang pengemis. Yang sentiasa meminta pada Ya Wahab agar menunaikan segala kehendak kita. Sikap manusia yang sentiasa merasa ingin lebih dan tidak cukup menyebabkan kita sering meminta-minta.
Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki kerana nikmat yang ada pada kita adalah pinjaman Allah yang akan dipertanggungjawabkan di padang Masyar kelak.