Rabu, 28 Ogos 2013

Sweetnya Allah


Jam menunjukkan pukul 3 pagi, terdengar suara rengekan si kecil Ammar tanda lapar. Lantas aku bangkit untuk bancuh susu. Terdetik di hati kalaulah aku tunaikan solat tahajjud sementara menunggu Ammar habiskan susu lagi baik. Mungkin ini panggilan dari Allah untuk hamba yang dikasihiNya.
Sweetnya Allah dia kejutkan hamba-Nya untuk bangun malam dengan cara yang cukup lembut. Adakalanya kita bangun di tengah malam untuk buang air kecil dan lapar, itulah tandanya Allah bangunkan kita untuk merintih dan mengadu pada-Nya. Namun seringkali kita alpa dan lupa.
Sebelum balik berhari raya, motosikal kesayangan suami, hampir kecurian, pencuri merosakkan rantai moto, enjin moto bocor dan banyak lagi kerosakkan yang menyebabkan suami 'patah kaki' untuk ke tempat kerja, sekali gus menghantar dan kadang-kadang mengambil aku pulang bekerja. Pada mulanya memang marah, tapi bila berbalik kepada qada dan qadar Allah, semuanya telah tertulis atas kehendaknya. Sekarang motosikal tersadai dibengkel.
Sweetnya Allah dia ingin tarbiyyah diriku dengan sifat sabar. Tanda kasih sayang-Nya kepada hamba. Barulah aku terfikir Allah rindu akan rintihanku.
Pagi, suami tersayang akan menghantar ke Komuter untuk ketempat kerja, perjalan akan mengambil masa 20 minit dalam Komuter dan 'transit' LRT selama 15 minit untuk sampai di tempat kerja. Dengan kandungan mencecah hampir 5 bulan, kadang-kadang kepenatan dan lelah untuk mengejar Komuter dan LRT. Tapi......
Sweetnya Allah aku diajar  untuk menjadi seorang yang redha dengan ujian-Nya. Aku manfaatkan masa sepanjang perjalanan selama 20 minit dalam Komuter itu untuk berzikir dan berdoa kepada-Nya. Dengan rintihan ini aku kenal erti kasih sayang,lebih menghargai,bersyukur, perikemanusiaan dan sabar.
“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 216)
Adakalanya kita persoalkan mengapa harus kita yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Tapi pernahkah kita persoalkan mengapa kita yang harus mendapat kejayaan dan kenaikan pangkat ini, bukan orang lain?
Sweetnya Allah dia uji hamba-Nya untuk meningkatkan keimanan dan menghapus dosa-dosa silam jika kita redha dengan ujiannya. Di setiap kepahitan pasti ada kemanisannya.
“… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan.” (Surah Al-Insyirah)
Kehidupan manusia di bumi tidak ubah seperti seorang pengemis. Yang sentiasa meminta pada Ya Wahab agar menunaikan segala kehendak kita. Sikap manusia yang sentiasa merasa ingin lebih dan tidak cukup menyebabkan kita sering meminta-minta.
Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki kerana nikmat yang ada pada kita adalah pinjaman Allah yang akan dipertanggungjawabkan di padang Masyar kelak.

Selasa, 27 Ogos 2013

Menerima


Menerima perkara yang baik-baik itu nikmat. Nikmat keluarga bahagia itu nikmat,

Menerima gaji, menerima cinta, menerima hadiah, menerima cahaya mata.


Saya, kamu, kita semua bersyukur dan bergembira, menerima perkara yang baik-baik. Walaupun, perkara yang saya sering kesalkan berkenaan menerima perkara yang baik adalah, saya sering terlupa bagi bersyukur, namun tidak pernah lupa bagi berdoa untuk meminta lagi.

Lupa bersyukur itu, membuatkan nikmat menerima perkara yang baik-baik itu, terhenti hanya pada tahap itu. Sedangkan itu bukan nikmat yang paling nikmat yang dapat diperoleh. Ada lagi nikmat yang lebih besar, dan memberi ketenangan jiwa yang lebih halus.

Antaranya, nikmat memberi perkara yang baik-baik. Memberi senyum, memberi sedekah, memberi cinta, memberi hadiah, dan segala macam yang baik-baik.

Itulah nikmat yang lebih atas, daripada nikmat menerima, nikmat memberi.

Isnin, 25 Februari 2013

MASJID KOTA DAMANSARA:BERKAT BISMILLAHITAWAKALATU 'ALALLAH

Bismillahitawakaltu 'alallah laa haula wala quwata ilabillah
Bismillahitawakaltu 'alallah laa haula wala quwata ilabillah
Bismillahitawakaltu 'alallah laa haula wala quwata ilabillah 

“Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah".


Begitulah selalu sebelum keluar dari rumah, bibir selalu basah menyebut kalimah keramat itu. Sering mengingatkan suami dan anak-anak untuk membaca doa tersebut. Walaupun anak masih kecil lagi tetapi mereka mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa.

Pagi semalam Muhammad dan suami tak sihat, jadi kami memutuskan untuk ke klinik pada waktu pagi sebelum ramai orang di klinik. Sampai di klinik, klinik tutup dibuka pukul 6.00 petang. Dan kami tak ingat hari ini adalah hari Ahad, kebiasaan hari Ahad begitulah jadual klinik. Kami pulang semula ke Subang, suami memutuskan untuk ke Masjid Kota Damansara, disebabkan sudah hampir waktu Zohor.

Sampai di masjid ramai yang telah pulang, itu menandakan kami tak sempat berjemaah Solat Zohor. Awan hitam dan mendung diluar, macam nak hujan. Selesai solat Zohor hujan turun rintik pada mulanya, makin lama, makin lebat. Jadi kami memutuskan untuk berteduh sementara hujan berhenti. Saya memanjatkan doa, berkat Allah menurunkan hujan, mudah-mudahan Allah meluaskan lagi rezeki kami.

Untuk tidak kebosanan dalam menunggu hujan teduh, saya memutuskan untuk membaca buku-buku yang berada di rak dalam masjid Kota Damansara. Buku yang bertajuk Syamail Muhammad s.a.w, keperibadian Rasulullah oleh Imam Al-Tirmizi, sangat memikat hati untuk membacanya, siapa yang tak mahu membaca keperibadian manusia yang paling unggul, junjungan Nabi Muhammad s.a.w, kekasih Allah. Kami berkumpul disuatu sudut, buat bulatan kecil, dimana saya membaca untuk didengari suami dan anak2.

Selang beberapa helai, anak yang bongsu Ammar baru 1 tahun tak betah untuk lama-lama duduk, sentiasa mahu sahaja melepaskan diri dari pelukan abi (suami), Muhammad yang berumur 3 tahun, anak yang pertama sudah mahu bermain2 pula, begitulah ulah anak-anak. Jadi suami memutuskan sahaja mahu pulang, walaupun hujan masih lebat diluar.

Subhanallah lebatnya hujan, didalam Masjid ada AJK masjid yang membersih dan mengatur keadaan dalam Masjid, mungkin menunggu jemaah solat Asar pula. Suami mendokong Muhammad, anak yang pertama, suami kata ingin menggambil kereta, biar dekat sedikit menggambil saya dan anak yang bongsu. Hujan masih lebat.

Suami berpayung sambil mengendong anak, berlari-lari kecil untuk ke kereta, manakala saya ke khemah dihadapan tepi masjid untuk menunggu suami. Di dalam khemah ada seorang AJK masjid sedang membaca sesuatu ditengah-tengah kemah. Air naik sehingga ke buku lali, memang mahu sahaja ketengah khemah tetapi tengah khemah lagi dipenuhi air, jadi saya berada di hujung khemah dekat dengan tiang khemah. Memegang erat kepala anak supaya air hujan yang bertempias tidak mengenai anak, takut anak demam. Makin lama, air semakin tinggi didalam khemah, hujan makin lebat diluar.

Kereta suami telah dekat di khemah, mahu sahaja hendak masuk dalam khemah, tetapi dihalang oleh meja-meja. Melihatkan kesukaran saya dan anak mahu memasuki kereta, AJK masjid yang berada ditengah-tengah khemah bergegas untuk mengambil payung dihadapan pintu utama Masjid. Selang beberapa langkah, 'PRANG!!!' bunyi yang kuat didalam khemah, saya terperanjat, mengingatkan anak didalam genggaman. ALLAHHUAKBAR itu sahaja didalam hati. Bumbung khemah jatuh menghempap meja ditengah-tengah khemah, dimana AJK masjid tadi duduk. AJK masjid berpaling kebelakang, dan saya belari bersama anak ke pintu utama masjid. Memang panik ketika itu, saya terselamat kerana ada satu tiang dibahagian saya bediri itu tidak roboh. ALLAHUAKHBAR, kuasa Allah, Allah masih sayang kami, kami terhindar dari malapetaka yang dahsyat itu.

Suami keluar dari kereta, saya menggigil kecil melihat peristiwa itu, dalam hati tak henti-henti memanjat syukur kepada Allah memelihara kami dari malapetaka. AJK masjid itu juga tergamam, suami sempat mengingatkan AJK masjid itu supaya buat sujud Syukur, kerana terhindar dari malapetaka ini.

Di dalam kereta, suami juga berpesan supaya saya buat sujud Syukur, dan menyuruh Muhammad (anak yang sulung) supaya mencium Ummi dan adiknya. "Muhammad, sayang ummi gan adik,....Allah masih bagi kesempatan kita jumpa ummi dan adik". Saya jadi sedih, memang Allah MAHA BESAR, sebaik-baik perancangan, dan perancangan Allah adalah tepat dan kena pada tempat dan waktunya. Tidak sia-sia.

Semuanya berkaitan, suami yang baik yang mahu ambil kami dikhemah, AJK yang ikhlas mahu membantu saya dan anak mengambil payung dihadapan masjid untuk memayungi kami masuk dalam kereta. Atas sebab-sebab itu, malapetaka itu terhindar dengan izin Allah. Sungguh peristiwa itu memantapkan lagi keimanan saya pada Allah. Peristiwa yang merapatkan lagi kasih sayang kami sekeluarga.

Ya Allah kau Tuhanku, aku Hambamu. Terimalah taubat hambamu ini.




Khamis, 21 Februari 2013

CINTA SELEMBUT BICARA


Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka dberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya.
Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.
Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)
Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.
Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.
Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)
Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata?
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi jarak dua hati yang telah jauh itu!
Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya didengar oleh mereka berdua. usteru. ‘alat komunikasi’ yang sebenarnya bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati.
Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.
Firman Allah:“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”  (Al-A’raf 55-56)
Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w:  “Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (HR. Al Bukhari dan Muslim). Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al A’fu, Al Ghafar dan lain-lain.
Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut, tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya. Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru, pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang dikenali sebagai bahawa rasa.  Itulah bahasa  sejagat yang  mempunyai nada dan melodi yang sangat harmoni.
Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti hati kita dan dia akan bertaut… Ya, sekiranya di hati kita berdua masih ada cinta.
Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya,  dan bicara kita hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris. “Sesungguhnya sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk.” (HR. Muslim)
Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya, besar kemungkinan sudah terguris hatinya!
Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa kasih-sayang, empati, dan cinta. “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS. Ali Imran: 159)
Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta, insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa… jika kita sekadar mampu meniru ‘di hujung kuku’.
Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)
Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita.     Jika tidak, hati pasangan kita akan ‘lari menjauh’ walaupun mungkin tubuh badannya masih sebumbung dengan kita. “Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Qs. Ali Imran: 159)
Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar. Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras, bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.
Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri  sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi kebaikan kepada diri  sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang kita cintai!
Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44:
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.
Oleh Rasulullah saw telah bersabda:  “Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)
Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.
Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa kerana ia bertapak di hati, yakni ‘raja’ dalam kerajaan diri manusia. Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan yang sangat kuat dan bertenaga.    Namun, apabila tidak ada cinta… segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga untuk  berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.
Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna, sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa… Bukankah makna cinta itu hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta pada mu!

Khamis, 7 Februari 2013

KELUARGAKU 2013


Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah. Selaku isteri, yang becita-cita untuk memiliki anak-anak yang soleh dan seterusnya solehah insyallah. Tanpa izin Allah, dimana lah kita nak dibandingkan dengan apa yang telah kita hari-hari yang dilalui dengan penuh bererti.

Janganlah terlalu cuba mengejar status manusia yang berjaya dikalangan manusia, tetapi usahakanlah sepenuh hati menjadi manusia yang berguna untuk manusia yang lainnya. Cukuplah Allah sahaja yang mengasihani kita.

Biarlah manusia lupa pada kebaikan kita, asalkan kita sudah berniat dan berusaha sebaik-baiknya, kerana Allahtidak akan pernah lupa. Rezeki itu tetap Dia jua yang memberi. Bahawasanya tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia. 

Dan Ya Allah aku hambamu, kau Tuhanku. Aku sangat bersyukur dengan ciptaan-ciptaanMu ini untuk menjadi pendamping hidupku diatas muka bumi ini.

(untuk suami tercinta Muhammad Faizul Arshad bin Saod, anak-anak kesayanganku serta penyejuk mata, Muhammad Izzul Adha dan Muhammad Ammar An-Nafi'i)

Rabu, 6 Februari 2013

SELAMAT HARI LAHIR UNTUK SUAMI KESAYANGANKU


Bismillahirohmannirohim, Alhamdullilah syukur pada Allah Ulang tahun kelahiran buat suami tercinta. Alhamdullilah Ya Allah atas pertemuan ini. Seorang suami, ayah dan hamba Allah yang penuh dengan kasih sayang. Semoga Allah panjangkan umur mu sayang dan dimurahkan rezeki. Bagi mu suami kesayangan ku, Sunnah Rasullulah adalah garis panduan dalam kehidupan dan membina keluarga bahagia yang akan menuju Syurga Allah yang kekal abadi.

SELAMAT HARI LAHIR BUAT ANAK-ANAK KESAYANGAN