Setelah anak-anak diperkenalkan dengan sebutan perkataan'Allah" dan "Lailaha illa Allah", para ibu dan bapa perlu menyusuli usaha mendidik dengan memperkukuh iman dan keyakinan anak itu kepada Allah. Anak yang masih baru mengenal dunia itu amat mudah untuk menerima dan mempercayai maklumat yang disampaikan.
Oleh kerana maklumat yang tersimpan dalam kotak fikirannya masih sedikit, maka tahap daya kritisnya amat kurang. Apa sahaja yang disebut oleh ibu dan bapa, mudah sahaja ditelan bulat-bulat. Oleh itu, tempoh inilah saat yang paling sesuai untuk memulakan 'pengajian' aqidah kepada anak-anak.
Jangan fikir anak-anak anda tidak mampu memahami soal akidah ini. Walau pun aqidah ini perkara abstrak, tidak boleh dilihat dan ditunjukkan melalui pancaindera, namun jika kena cara penceritaannya, anak-anak boleh memahaminya dengan mudah.
Usah dedahkan dahulu soal-soal falsafal yang terhimpun dalam kitab-kitab tauhid yang tebal-tebal itu. Cukuplah dengan mengaitkan iman kepada Allah itu dengan benda-benda yang dilalui dan dirasai oleh anak-anak itu seperti makanan, pokok-pokok, anggota badannya, dan seumpamanya.
Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, sejak anak itu mula mumayyiz, mereka sudah boleh didedahkan dengan kebesaran Allah yang mencipta alam yang menakjubkan. Minta mereka fikirkan betapa hebatnya Allah mencipta manusia, binatang, tumbuhan, bumi dan langit. Jelaskan betapa semuanya ini tidak mampu dibuat oleh manusia yang banyak kelemahan.
Bahkan mengenali Allah ini tidak sukar untuk dilakukan dengan memulakan pada anggota badan sendiri. Misalnya, minta anak itu meletakkan telinga ke atas dada ibu atau ayah untuk merasai degupan jantung. Kemudian minta dia merasai jantungnya sendiri dengan tangan. Jelaskan bahawa jantung itu telah bergerak sejak dari dalam perut hingga mati. Jelaskan juga bahawa manusia tidak mampu untuk menggerakkannya jika tanpa kekuasaan Allah. Jika Allah mahu matikan seseorang, Allah boleh hentikan sahaja jantungnya.
Kemudian, ibu bapa boleh teruskan dengan memahamkan si anak bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jelaskan betapa pengasihnya Allah yang memberikan nikmat makan dan minum, tempat perlindungan, kesihatan dan tubuh badan yang sempurna.
Ingatkan dia selalu bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah tanda kasih Allah kepada manusia. Galakkan dia mengucapkan rasa syukur sepenuh hati agar semakin dekat dirinya dengan Allah. Jika menonton, terjumpa atau bercerita tentang dengan mereka yang cacat, miskin, atau melarat, janganlah lupa untuk mengingatkan anak agar bersyukur dengan nikmat yang diperolehi.
Fahamkan kepada mereka bahawa Allah kadang-kadang menjadikan manusia dan makhluk lain dengan beberapa kekurangan supaya manusia lain dapat bersyukur dengan kesempurnaan serta nikmat yang diberikan.
Setiap kali mengadap makanan, ibu bapa perlu sentiasa menyebut bahawa rezeki itu dari Allah. Jelaskan bahawa, walau pun makanan atau bahannya itu mungkin dibeli, namun hakikatnya ia datang dari Allah melalui pintu-pintu rezeki seperti kepandaian, kebolehan, pekerjaan yang baik dan gaji yang memuaskan.
Bandingkan dengan orang lain yang susah dan tidak ada makanan untuk dijadikan santapan. Cara ini insyaAllah mampu meningkatkan keyakinan tentang sifat Allah Yang Maha Pemberi dan Maha Penyayang. Selain itu jangan lupa untuk meminta anak-anak agar mendalami rasa sayang dan kasih kepada Allah sebagaimana Allah mengasihi mereka.
Bila berkelapangan, bawa anak-anak beriadah di taman atau kawasan rekreasi. Sambil berseronok bermain, jangan lupa untuk sebutkan tentang kehebatan Allah yang menjadikan alam yang sangat cantik. Sebutkan tentang kerdilnya manusia yang tak mampu untuk membuat makhluk seumpamanya walau pun sebesar semut. Kaitkan juga dengan hakikat bahawa makhluk-makhlik Allah itu termasuk pohon-pohon, batu, air, binatang dan tanah sentiasa berzikir kepada Allah dengan bunyi yang tidak didengari atau dalam bahasa yang difahami manusia.
Kemudian, paparkan pula keyakinan kepada sifat Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Meneliti dan Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku di alam ini. Yakinkan si anak bahawa Allah sedang memerhatikan apa yang sedang manusia lakukan.
Pendekatan ini amat penting untuk melahirkan sifat ihsan dalam diri anak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW tentang ihsan iaitu:
"Agar kamu menyembah Allah seolah-oleh engkau sedang melihatNya. Andaikata engkau tidak mampu melihatnya, maka yakinlah bahawa Dia tetap melihat engkau".
Sifat ihsan ini adalah teras dalam mengukuhkan aqidah anak-anak. Imam Al-Ghazali membawa satu kisah Sahel bin Abdullah Al-Tustari dalam kitab Ihya Ulumiddin.
Sahel berkata: Ketika aku berusia tiga tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku, Muhammad bin Siwar. Pada suatu hari, dia berkata kepada ku: Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikan engkau? Aku menjawab: Bagaimana aku berzikir kepadaNya? Muhammad bin Siwar menjawab: Sebutkan dalam hati mu ketika engkau berbalik-balik di tempat tidur tiga kali, tanpa engkau menggerakkan lidah mu: "Allahu ma'ani, Allah naazirun ilayya, Allah syaahidi" (Allah ada bersama-sama ku, Allah melihat kepadaku, Allah memerhatikanku).
Renungilah bagaimana Rasulullah mentarbiyah seorang anak kecil iaitu Abdullah bin Abbas r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi. Abdullah mengatakan bahawa:
"Pada satu hari aku menunggang bersama di belakang Nabi SAW. Lantas, Baginda bersabda: Wahai anak kecil! Aku akan mengajarimu beberapa pedoman: Peliharalah Allah, niscaya Dia akan memelihara mu. Peliharalah Allah nescaya Dia akan berada hampir denganmu. Jika kamu mahu meminta, maka mintalah daripada Allah. Jika kamu mahu mendapatkan pertolongan, dapatkanlah pertolongan daripada Allah. Dan ketahuilah, jika manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan dapat memberikannya melainkan dengan ketetapan dari Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu melakukannya, melainkan dengan ketetapan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan catatan telah kering."
Demikianlah contoh unggul tarbiyah rabbaniyah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Paparan ini membuktikan bahawa pendidikan untuk memastikan anak-anak mengenal Allah amat penting untuk dimulakan sejak dari kanak-kanak. Dengan kesungguhan ibu bapa menerapkan aqidah yang sahih ini insyaallah dapat menjadikan anak-anak tegus mempertahankan aqidah walau pelbagai gelombang dugaan dan cubaan yang dihadapinya.
Kita sama-sama doakan agar anak-anak kita hampir dengan ALLAH sejak dari kecil lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan