26 Jun 2010, genap Muhammad 7 bulan. Banyak perkara yang perlu belajar dalam mengendalikan anak, terutama semasa dia baby lagi. Celik sahaja mata, mesti kita fikirkan tentang anak. Dia nak makan apa, kenapa dia menangis?, susu yang diberi cukupkah, gembirakah anak hari ini. Semua perkara itu banyak bermain difikiran, sebab Muhammad masih kecil dan tidak pandai bercakap lagi, tidak pandai complent lagi, dan tidak pandai minta itu dan ini lagi.
Begitulah agaknya, perkara yang bermain-main difikiran Mak semasa membesarkan aku 30 tahun yang dulu. Hendak membesarkan anak sebesar ini, berapa banyak air mata yang tumpah, berapa banyak pula duit yang dilaburkan, tidak terhintung banyaknya, jangankan kalkulator, computer yang canggih pun pasti tidak dapat mengira angka-angka yang dipaparkan.
Untuk mencari kesalahan dari pendidikan awal anak-anak memang banyak, Dari mula kita mencari pasangan, bagaimana kita cari?. Dimana kita jumpa pasangan itu?. Apakah niat kita semasa kita berkahwin. Islam memang cantik, sehingga perkara yang sekecil itu pun diambil kira dalam pendidikan awal anak. Jangan pandang kecil perkara asas seperti itu. Perbanyaklah berdoa semoga Allah mencarikan pasangan kita yang soleh serta solehah.
Berbalik pada Anak kecil ku yang diberi nama Muhammad Izzul Adha. Memang sudah dijangka nama yang diberi, berpadanan dengannya. Setinggi-tinggi Pengorbanan itu lah maksud pada nama anak kecil ku itu. Indah bukan. Semoga anak ini menjadi anak yang soleh, percaya, Allah sangat dekat padanya, pendamping Al-Quran dan menjadikan Rasullullah S.A.W contoh ikutan. Itulah doa ku setiap hari, dan jua harapan suami.
Setiap Anak adam, telah ditentukan ajal, maut, rezekinya di dunia ini. Percayalah Allah itu sangat dekat dengan kita. Jika kita susah, masih ramai lagi yang hidup susah dan merempat. Bersyukurlah dengan kurniaan Allah. Cukuplah Allah sahaja yang ada pada kita. Cukuplah, janganlah bersedih. Bergembiralah. Begitulah hidup ini, jika Allah tidak memberi kita jodoh yang kita cari, sebenarnya Allah sedang merencanakan yang lebih baik dari itu.
Masa kecil dulu, mak pernah meninggalkan aku, along dan adik dikampung. Nenek dan datuk yang menjaga kami. Sebenarnya banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan semasa dikampung. Nenek adalah seorang nenek yang garang pada masa itu, mana tidak garang, ketika aku darjah 1, disekolah rendah aku minta duit untuk membayar yuran sekolah. Ketika itu nenek berkeras telah membayar duit yuran tersebut. Aku mengatakan cikgu yang minta, nenek tidak mempercayai. Lalu keesokan harinya, nenek membawa parang untuk berjumpa dengan guru sekolah. Begitu keras cara pengajaran orang-orang dahulu. Tapi tidakah kita terfikir bagaimana, nenek-nenek kita mendidik anak-anak mereka.
Bila sudah dewasa, peristiwa itu sangat terkesan pada aku. Bagaimana nenek-nenek kita, mak-mak kita dahulu sangat berhati-hati dengan permintaan anak-anak, terutamnya berkenaan wang ringgit, mereka tidak akan melepaskan perkara dengan begitu sahaja. Walaupun aku akan ketawa jika teringat peristiwa tersebut, pun menjadi bahan bualan keluarga serta jenaka semasa keluarga berkumpul, jika difikirkan balik banyak perkara yang tersirat disebaliknya.